Thursday, June 4, 2015

Q & A : Audit




From: xxx@hotmail.com
To: mr.radzi@yahoo.com
Sent: On Thursday, June 4, 2015 1:51 AM
Subject: Pertanyaan tentang Audit

Salam En. Radzi

Saya & rakan kongsi mempunyai sebuah Syarikat Sdn Bhd dan terdiri daripada 5 orang staff.
Syarikat kami bermula pertengahan tahun 2013 hanya bertahan 4 bulan selepas menghadapi masalah kewangan. Akhirnya kami menutup segala operasi akhir 2013 syarikat sehingga sekarang 2015.

Rekod Hilang
Masalah yang kami hadapi sekarang ini adalah berkenaan dengan audit kerana rekod transaksi
telah hilang dalam komputer akauntan dan yang tinggal dengan kami hanyalah buku check, bank statement.
Akauntan kami juga tidak mahu berkerjasama untuk melakukan audit. Apakah penyelesaian terbaik untuk kami dan syarikat yang sudah tidak menjalankan operasi hampir 2 tahun.

Kos & Kompaun @ denda
Berapakah kos yang kami tanggung untuk melakukan audit. 
Sekiranya kami tidak mempunyai wang, apakah kesan terhadap kami dan syarikat.

Sekian terima kasih Tuan Radzi.

JAWAPAN
Waalaikumsalam,

Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang telah diajukan :
1.      Penyediaan akaun untuk diaudit
Pihak Syarikat bertanggungjawab dalam menyediakan perakaunan yang lengkap pada setiap tahun kewangan mengandungi perkara-perkara berikut:

·         Kunci Kira-kira
·         Penyata Untung Rugi
·         Lejar Am
·         Jurnal Am
·         Penyata Penyesuaian Bank

Dokumen ini perlulah disimpan selama 7 tahun bagi tujuan Percukaian dan Perniagaan. Untuk menyediakan perakaunan yang lengkap, Syarikat perlulah menyimpan dan merekodkan semua transaksi yang melibatkan :
·         Bank dan tunai
·         Belanja-belanja am seperti bil elektrik, bil telefon, petrol, tol, sewa, dan lain-lain belanja yang berkaitan dengan Syarikat.

Syarikat boleh menyediakan sendiri akaun Syarikat tersebut ataupun mengupah pihak tertentu untuk menyediakan akaun bagi pihak Syarikat. Sekiranya memilih untuk mengupah orang menyediakan akaun Syarikat, semua dokumen seperti yang disebutkan di atas perlu disediakan 
Berdasarkan persoalan Tuan berkaitan rekod yang hilang, transaksi akaun boleh juga dilakukan berpandukan Penyata Bank Syarikat, buku cek dan juga makluman yang ada. Jika tiada rekod penyimpanan, Tuan boleh merekod pada kadar yang terbaik dan munasabah.

2.      Kos, kompaun atau denda

Setiap Syarikat perlulah menghantar Laporan Beraudit untuk setiap tahun yang terlibat walaupun Syarikat itu tidak menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan.

Anggaran yuran Audit adalah bergantung kepada garis panduan yang telah diberikan oleh Malaysian Institute of Accountant (MIA). Yuran audit adalah berdasarkan jumlah Pendapatan Kasar setahun atau jumlah Aset sesebuah Syarikat (yang mana lebih tinggi). 
Untuk makluman pihak Tuan, bagi Syarikat tidak aktif, yuran Audit adalah serendah RM800 tidak termasuk perbelanjaan lain (disbursement).
Kompaun atau denda akan dikenakan oleh pihak Suruhajaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN). 

SSM akan mengenakan denda dan kompaun seperti berikut untuk setiap tahun yang terlibat:
  •   Denda lewat serahsimpan Penyata Tahunan ke SSM : RM50 – RM150;
  •   Kompaun tidak mengadakan Mesyuarat Anggota Lembaga : RM1,000 untuk Syarikat dan RM4,400 untuk setiap Pengarah


Adalah dinasihatkan untuk menyemak status kompaun terkini dengan pihak SSM ataupun Setiausaha Syarikat.

LHDN pula akan mengenakan penalti ke atas Syarikat sekiranya tidak atau lambat menghantar Borang Cukai Syarikat. Penalti akan dikenakan adalah sebanyak 20% - 30% daripada cukai Syarikat sekiranya ada.

Syarikat wajib menyelesaikan kerja-kerja audit, penghantaran ke SSM dan LHDN. Syarikat akan menanggung kos-kos yang semakin meningkat setiap tahun. Adalah dinasihatkan untuk menutup sahaja Syarikat jika tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk meneruskan operasi perniagaan tersebut.

Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu