KALAU ditanya
berkenaan akaun dalam kalangan orang yang menjalankan perniagaan atau
pelaburan, boleh dikatakan majoriti peniaga akan mengaku mengalami masalah
perakaunan. Malah ada yang beranggapan akaun bank itu adalah akaun untuk
menunjukkan kedudukan kewangan syarikat.
Sangatlah salah
dengan menganggap akaun bank dapat menunjukkan kedudukan kewangan yang sebenar.
Ramai yang tidak menyedari keperluan mempunyai akaun yang lengkap seperti rekod
yang dinyatakan di sini.
Imbangan duga
Kita dapat
mengetahui kedudukan syarikat dari mula kita menjalankan perniagaan. Di dalam
imbangan duga kita juga boleh ketahui kedudukan aset, liabiliti dan ekuiti
syarikat. Sangat lah penting kita mengetahui kedudukan sebenar syarikat kita
sebelum membuat sesuatu keputusan seperti membeli bangunan, memberi bonus pada
pekerja, membuat pelaburan dan membuat pinjaman dengan bank.
Penyata Untung Rugi
Melalui penyata
untung rugi, kita dapat mengenal pasti kedudukan semasa perniagaan kita dari
segi perjalanan operasi. Ini bermakna melalui penyata ini kita boleh ketahui
lebih tepat mengenai operasi syarikat sama ada menghasilkan keuntungan atau
kerugian.
Melalui penyata ini
juga kita boleh mengetahui lebih mengenai jualan dan perbelanjaan kita, di
mana kita boleh membuat perancangan jika wujud lebihan perbelanjaan atau
kekurangan jualan.
Penyata aliran
tunai
Menunjukkan
kedudukan aliran tunai syarikat. Daripada penyata ini kita boleh mengenal pasti
tunai perniagaan banyak ke arah operasi, pelaburan atau kewangan. Melalui
penyata ini juga kita boleh mengetahui sama ada pelaburan kita telah
menghasilkan aliran tunai yang positif atau sebaliknya.
Kelemahan ini
sering berlaku pada peniaga dan pelabur. Di antara punca akaun tidak dapat
disediakan ialah:-
Tidak mahu tanggung
kos melantik akauntan atau mengupah pihak luar
Masalah ini sering
berlaku dan selalunya yang baru memulakan perniagaan. Disebabkan tiada asas
perakaunan yang baik, mereka memilih untuk mengemas kini secara tahunan. Risiko
yang dihadapi jika mengemas kini secara tahunan ialah transaksi tidak tepat,
dokumen hilang dan maklumat tidak cukup.
Tidak menyimpan
rekod dan dokumen dengan betul
Masalah ini juga
antara punca utama peniaga memilih untuk tidak mengemas kini perakaunan mereka.
Disebabkan kelemahan dalam sistem menyimpan rekod dan dokumen, mereka lambat
bertindak untuk melantik pekerja pentadbiran atau kerani akaun.
Tidak mempunyai
masa yang cukup
Kebanyakan peniaga
sibuk dengan aktiviti operasi perniagaan dan untuk menumpukan pada hal-hal
berkaitan pentadbiran terutama berkaitan akaun adalah jarang akan dilakukan
oleh mereka. Oleh itu, penulis rasa sangat bertanggungjawab untuk memastikan
usahawan bertindak dengan betul. Sebaik-baiknya dari mula menjalankan
perniagaan dan pelaburan, peniaga sudah mula memikirkan tentang pentadbiran dan
pengurusan. Kesilapan yang sering dilakukan amat merugikan peniaga dan pelabur.
Untuk usahawan dan
pelabur, dalam memastikan kita boleh berjaya dalam perniagaan dan pelaburan
yang kita lakukan, amatlah digalakkan untuk memastikan penyediaan akaun yang
baik dan tersusun. Kelebihan dalam menyediakan akaun antaranya ialah:-
Dapat mengenalpasti
kedudukan kewangan syarikat
Sangat penting kita
mengenal pasti kedudukan kewangan syarikat untuk mengelak membuat perbelanjaan
yang tidak sesuai pada waktu dan mengelak daripada masalah aliran tunai.
Terlalu ramai
peniaga yang mengalami masalah disekat daripada membuat transaksi di bank
disebabkan masalah baki bank yang tidak cukup.
Merancang strategi
pengurusan risiko
Setiap keputusan
yang dibuat syarikat akan membawa risiko tersendiri. Risiko syarikat perlu
diuruskan dengan bijak bagi mengelakkan berlakunya risiko yang tidak mampu
ditanggung.
Pemantauan akaun
secara berkala perlu dilakukan. Sebagai contoh, risiko bankrap boleh diuruskan
dengan mengetahui aliran transaksi duit masuk, memantau kutipan penghutang
secara aktif dan memantau transaksi duit keluar atau yang dibelanjakan.
Pinjaman mudah
diluluskan
Dengan menyediakan
akaun secara berkala, syarikat dapat merancang corak aliran kewangan syarikat
bagi memastikan syarikat membuat keuntungan yang kukuh bagi tahun semasa. Ini
penting bagi pihak bank untuk menilai pinjaman yang akan diluluskan.
Selain itu, pihak
syarikat perlu menyediakan akaun yang terkini kepada pihak bank. Antara
kriteria lain dalam memudahkan kelulusan pinjaman ialah, akaun yang tersusun
dan lengkap.
Sentiasa bertindak
dengan bijak setiap apa yang kita lakukan dalam perniagaan. Jangan kita
memandang rendah kepentingan akaun dalam perniagaan. Banyak yang dapat kita
selamatkan dan merancang dengan lebih baik dalam setiap aktiviti perniagaan
atau pelaburan. Semoga kita menjadi bijak mengurus dan bijak bertindak.