Thursday, December 15, 2016

PERAKAUNAN ZAKAT PERNIAGAAN DI MALAYSIA


Zakat merupakan rukun Islam yang wajib ditunaikan. Kepentingan mewajibkan zakat ditegaskan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda mengutus Muadh b. Jabal ke Yaman. Pada awal pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, penguatkuasaan zakat amat ditegaskan. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pula sanggup memerangi golongan yang enggan membayar zakat semasa pemerintahan beliau. Hal ini menunjukkan kepentingan membayar zakat yang merupakan sumber pendapatan negara.
Peraturan dan kaedah perakaunan zakat telah digubal dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan dan keperluan masyarakat. Walau bagaimanapun, kaedah penggubalan peraturan dan kaedah perakaunan zakat menjadi perbahasan yang berterusan dalam kalangan fuqaha. Hal ini malah disuarakan oleh Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar yang sedih melihat timbulnya jurang perbezaan antara para pemerintah dengan para fuqaha dalam hal yang berkaitan dengan kewajipan membayar zakat. Beliau menegaskan betapa perlunya kaum Muslimin didedahkan tentang kepentingan kewajipan membayar zakat yang sama dengan kewajipan menunaikan solat.
Menurut Muhammad Syukri Salleh dalam artikel penulis “Isu Perakaunan Zakat Perniagaan di Malaysia”, semasa zaman Rasulullah SAW, kekayaan dan kemiskinan yang wujud seiring pada waktu itu tidak menimbulkan apa-apa konflik. Hal ini demikian kerana orang miskin reda dengan kemiskinan yang dialami, manakala orang kaya pula gemar memberi dan membantu mereka yang memerlukan. Hal ini juga disebabkan oleh sistem percukaian dan kewangan yang diamalkan oleh Rasulullah pada ketika itu. Rasulullah SAW telah memulakan sistem percukaian dan kewangan selepas Baginda berhijrah ke Madinah dan pada ketika itu, zakat dan sedekah merupakan sumber utama pendapatan negara.
Pada ketika itu juga, Madinah mempunyai sumber pendapatan lain. Jizyah merupakan cukai yang dikenakan terhadap semua orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam; Kharaj, cukai yang dikenakan terhadap tanah pertanian milik bukan Islam; ‘Usyur, cukai perniagaan yang dijalankan di negara Islam; Ghanimah, harta yang diperoleh daripada musuh melalui peperangan; dan al-fay, harta yang diperoleh daripada musuh tanpa peperangan. Bentuk cukai yang diamalkan oleh Rasulullah ketika itu menunjukkan kecekapan Rasulullah SAW seorang yang bijak, tegas, adil, dan cekap dalam urusan kewangan serta pentadbiran negara.


Wednesday, December 7, 2016

Kepentingan akaun untuk usahawan dan pelabur



KALAU ditanya berkenaan akaun dalam kalangan orang yang menjalankan perniagaan atau pelaburan, boleh dikatakan majoriti peniaga akan mengaku mengalami masalah perakaunan. Malah ada yang beranggapan akaun bank itu adalah akaun untuk menunjukkan kedudukan kewangan syarikat.
Sangatlah salah dengan menganggap akaun bank dapat menunjukkan kedudukan kewangan yang sebenar. Ramai yang tidak menyedari keperluan mempunyai akaun yang lengkap seperti rekod yang di­nyatakan di sini.

Imbangan duga
Kita dapat mengetahui kedudukan syarikat dari mula kita menjalankan perniagaan. Di dalam imbangan duga kita juga boleh ketahui kedudukan aset, liabiliti dan ekuiti syarikat. Sangat lah penting kita mengetahui kedudukan sebenar syarikat kita sebelum membuat sesuatu keputusan seperti membeli bangunan, memberi bonus pada pekerja, membuat pelaburan dan membuat pinjaman dengan bank.

Penyata Untung Rugi
Melalui penyata untung rugi, kita dapat mengenal pasti kedudukan semasa perniagaan kita dari segi perjalanan operasi. Ini bermakna melalui penyata ini kita boleh ketahui lebih tepat mengenai operasi syarikat sama ada menghasilkan keuntungan atau kerugian.
Melalui penyata ini juga kita boleh mengetahui lebih me­ngenai jualan dan perbelanjaan kita, di mana kita boleh membuat perancangan jika wujud lebihan perbelanjaan atau kekurangan jualan.

Penyata aliran tunai
Menunjukkan kedudukan aliran tunai syarikat. Daripada penyata ini kita boleh mengenal pasti tunai perniagaan banyak ke arah operasi, pelaburan atau kewangan. Melalui penyata ini juga kita boleh mengetahui sama ada pelaburan kita telah menghasilkan aliran tunai yang positif atau sebaliknya.
Kelemahan ini sering berlaku pada peniaga dan pelabur. Di antara punca akaun tidak dapat disediakan ialah:-

Tidak mahu tanggung kos melantik akauntan atau mengupah pihak luar
Masalah ini sering berlaku dan selalunya yang baru memulakan perniagaan. Disebabkan tiada asas perakaunan yang baik, mereka memilih untuk mengemas kini secara tahunan. Risiko yang dihadapi jika mengemas kini secara tahunan ialah transaksi tidak tepat, dokumen hilang dan maklumat tidak cukup.

Tidak menyimpan rekod dan dokumen dengan betul
Masalah ini juga antara punca utama peniaga memilih untuk tidak mengemas kini perakaunan mereka. Disebabkan kelemahan dalam sistem menyimpan rekod dan dokumen, mereka lambat bertindak untuk melantik pekerja pentadbiran atau kerani akaun.

Tidak mempunyai masa yang cukup
Kebanyakan peniaga sibuk dengan aktiviti operasi perniagaan dan untuk menumpukan pada hal-hal berkaitan pentadbiran terutama berkaitan akaun adalah jarang akan dilakukan oleh mereka. Oleh itu, penulis rasa sangat bertanggungjawab untuk memastikan usahawan bertindak dengan betul. Sebaik-baiknya dari mula menjalankan perniagaan dan pelaburan, peniaga sudah mula memikirkan tentang pentadbiran dan pengurusan. Kesilapan yang sering dilakukan amat merugikan peniaga dan pelabur.
Untuk usahawan dan pelabur, dalam memastikan kita boleh berjaya dalam perniagaan dan pelaburan yang kita lakukan, amatlah digalakkan untuk memastikan penyediaan akaun yang baik dan tersusun. Kelebihan dalam menyediakan akaun antaranya ialah:-

Dapat mengenalpasti kedudukan kewangan syarikat
Sangat penting kita mengenal pasti kedudukan kewangan syarikat untuk mengelak membuat perbelanjaan yang tidak sesuai pada waktu dan mengelak daripada masalah aliran tunai.
Terlalu ramai peniaga yang mengalami masalah disekat daripada membuat transaksi di bank disebabkan masalah baki bank yang tidak cukup.

Merancang strategi pe­ngurusan risiko
Setiap keputusan yang dibuat syarikat akan membawa risiko tersendiri. Risiko syarikat perlu diuruskan dengan bijak bagi mengelakkan berlakunya risiko yang tidak mampu ditanggung.
Pemantauan akaun secara berkala perlu dilakukan. Sebagai contoh, risiko bankrap boleh diuruskan dengan mengetahui aliran transaksi duit masuk, memantau kutipan penghutang secara aktif dan memantau transaksi duit keluar atau yang dibelanjakan.

Pinjaman mudah diluluskan
Dengan menyediakan akaun secara berkala, syarikat dapat merancang corak aliran kewa­ngan syarikat bagi memastikan syarikat membuat keuntungan yang kukuh bagi tahun semasa. Ini penting bagi pihak bank untuk menilai pinjaman yang akan diluluskan.
Selain itu, pihak syarikat perlu menyediakan akaun yang terkini kepada pihak bank. Antara kriteria lain dalam memudahkan kelulusan pinjaman ialah, akaun yang tersusun dan lengkap.
Sentiasa bertindak dengan bijak setiap apa yang kita lakukan dalam perniagaan. Ja­ngan kita memandang rendah kepentingan akaun dalam perniagaan. Banyak yang dapat kita selamatkan dan merancang dengan lebih baik dalam setiap aktiviti perniagaan atau pelaburan. Semoga kita menjadi bijak mengurus dan bijak bertindak.

Tuesday, December 6, 2016

Panduan Perakaunan

Dalam merealisasikan matlamat negara untuk mencapai status maju, sokongan dan dokongan profesional sangat penting. Satu daripada golongan profesional yang memainkan peranan penting untuk tujuan ini ialah akauntan.
Selain menjadikan profesion ini terus relevan di peringkat negara dan dunia, profesion ini berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran.

Masalah inilah sebenarnya yang cuba dibincangkan oleh Profesor Dr. Kamil Md. Idris dan Profesor Dr. Ayoib Che Ahmad dalam artikel mereka berkaitan draf Pelan Induk Pendidikan Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang disiarkan oleh Utusan Malaysia barubaru ini.
Ia merupakan maklum balas terhadap kenyataan Presiden MIA berkenaan isu sama yang turut disiarkan dalam Utusan Malaysia.
Ramai masyarakat tertanyatanya apa sebenarnya yang berlaku dalam profesion perakaunan pada masa sekarang. Malah ada yang bertanya kepada penulis sama ada kursus perakaunan yang ditawarkan oleh universitiuniversiti tempatan sudah tidak lagi mempunyai nilai.
Jika tidak bernilai, mengapa harus mereka menghantar anak mereka belajar kursus perakaunan di universiti tempatan.
Kebimbangan ini memang sukar untuk dirungkai. Jawapan kepada setiap persoalan yang dikemukakan juga harus dijawab dengan berhatihati.
Namun apa yang pasti penulis merasakan bahawa perkara ini merupakan satu isu yang amat penting diberi perhatian oleh semua pihak termasuklah ahliahli akademik, para pelajar, pihak kerajaan dan masyarakat perniagaan.
Berdasarkan apa yang dibincangkan secara umum di media berkaitan isu ini sama ada oleh pihak akademik dan MIA, dapatlah dirungkai tiga situasi yang mendorong perdebatan mengenai profesion perakaunan pada ketika ini.
Pertama, MIA dikatakan mempunyai rancangan untuk meminda Akta Akauntan 1967 dengan menggugurkan Jadual 1 dalam akta tersebut. Apa yang terkandung dalam Jadual 1 tersebut?
Berdasarkan maklumat daripada laman sesawang MIA, Jadual 1 menyenaraikan kursus perakaunan peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang ditawarkan oleh universitiuniversiti tempatan yang diiktiraf oleh MIA. MIA telah ditubuhkan oleh kerajaan sebagai badan pengawal akauntan bertauliah di negara kita.
Impak kepada rancangan ini sangat besar kepada universiti tempatan dan para pelajarnya. Jika dilaksanakan graduan tempatan tidak boleh terus menjadi akauntan bertauliah seperti sekarang. Mereka terpaksa menduduki peperiksaan lain pula jika berhasrat untuk menjadi akauntan bertauliah.
Perkara inilah yang menjadi persoalan besar di kalangan ahli akademik dan juga pengamal perakaunan seperti Persatuan Firma Firma Akauntan Bertauliah Melayu Malaysia (AMCAFM).
Tambahan pula ijazah sarjana muda perakaunan di universitiuniversiti tempatan mendapat pengiktirafan badanbadan kualiti tempatan dan antarabangsa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC), Piawai Pendidikan Antarabangsa (IES) dan lainlain lagi.
Kedua, setiap graduan dikehendaki mendapatkan kelayakkan daripada badanbadan profesional untuk melayakkan mereka menjadi akauntan bertauliah. Ini bermaksud graduan tempatan perlu menduduki peperiksaan yang dikendalikan oleh badan profesional perakaunan.
Kebiasaannya, badan perakaunan profesional dikendalikan oleh badan antarabangsa yang beroperasi di negaranegara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain. Caj yuran yang dikenakan agak mahal dan jumlah pelajar yang lulus peperiksaan tersebut adalah tidak ramai.
Natijahnya ialah berlaku pengaliran keluar wang negara berjuta juta ringgit setiap tahun. Soalan peperiksaan yang terlalu sukar juga boleh menyebabkan pelajar terpaksa menduduki peperiksaan tersebut berulangulang kali dan ini akan meningkatkan kos pengajian berkali ganda.
Ketiga, sasaran kerajaan untuk meramaikan akauntan bertauliah pada masa hadapan dikhuatiri terjejas dengan perubahan yang dirancang tersebut. Ini kerana peperiksaan profesional adalah sukar dan tidak semua pelajar yang menduduki akan berjaya lulus.
Ada juga unsur tersembunyi atau agenda tertentu oleh badan profesional di sebalik peperiksaan yang dikendalikan yang mungkin kita tidak tahu.
Hal ini dibimbangi akan merencatkan pertambahan bilangan akauntan bertauliah terutamanya di kalangan bumiputera Melayu pada masa akan datang.
Hasrat MIA untuk meningkatkan 25 peratus akauntan bertauliah Melayu dan 60,000 akauntan bertauliah di seluruh negara menjelang 2020 harus dipuji. Namun, sasaran tersebut adalah sesuatu yang dirasakan sukar untuk dicapai jika perancangan tersebut dilaksanakan.
Berdasarkan kepada kesemua situasi yang mendorong kepada perdebatan mengenai profesion perakaunan pada ketika ini, dapatlah disimpulkan bahawa isu ini perlu diberi perhatian oleh ahliahli akademik, pihak MIA dan pihak kerajaan. Usaha perlu digerakkan bagi membolehkan perbincangan semeja dilakukan yang melibatkan pihakpihak berkepentingan ini.
Jika ketelusan, integriti, kebertanggungjawaban menjadi teras kepada prinsipprinsip dalam perakaunan dan etika yang harus dimiliki oleh seseorang akauntan, maka masyarakat ingin melihat praktis amalan ini dilaksanakan oleh pihakpihak tersebut. Isu ini harus ditangani dengan sebaik mungkin.
Dengan membiarkan isu ini menjadi semakin kompleks dan tiada usaha menyelesaikannya segera dicari, maka sudah pasti akan menjejaskan kredibiliti dan persepsi awam terhadap akauntan secara umumnya.


Pertanyaan - FAQ



From: xxx@gmail.com 
To: mr.radzi@yahoo.com
Sent: Sunday, September 4, 2016 11:36 AM 
Subject: Cukai Perniagaan Individu Tanpa Pendaftaran Perniagaan (ROB)


Assalamualaikum wr wb
Yang dirahmati Allah Tuan Mohd. Radzi Lasim,
Saya ada satu kemusykilan:

Seseorang itu menjalankan perniagaan MLM (Multi Level Marketing) atau Jualan Langsung.
Dia berdaftar sebagai ahli syarikat MLM menggunakan nama peribadi dan melayakkan beliau bertindak sebagai pengedar. Dia menjual produk syarikat MLM tersebut. Semua urusan jual beli produk dengan dia oleh pelanggan hanya menggunakan akaun peribadi dia di CIMB.

1. Dia menerima bonus dari syarikat MLM tersebut yang dimasukkan di dalam akaun peribadi dia di CIMB. Akaun yang sama.

2. Bagaimana kes yang seperti ini perlu atau tidak perlu mendaftarkan akaun percukaian di LHDN?




3. Jika perlu, bagaimana?




4. Apakah nasihat terbaik tuan untuk kes yang seperti ini?




Mohon jasa baik dari tuan untuk pencerahan perkara di atas.



Saya dahului dengan ucapan jutaan terima kasih dan semoga Allah memudahkan urusan dan memajukan perniagaan tuan, Insya Allah

Mr xxx



PS:




1. Dia tidak menerima gaji yang tetap. Sebab dia terima bonus yang tidak menentu. Adakala banyak, adakala sikit.




2. Dia tiada syarikat enterprise apatah lagi sdn bhd hanya untuk menjadi pengedar produk syarikat MLM.


JAWAPAN:
Salam tuan,
Terima kasih atas soalan yang diberikan.Terlebih dahulu pihak kami memohon maaf diatas kelewatan memberi maklumbalas terhadap pertanyaan Tuan.
Untuk makluman pihak Tuan, setiap Individu yang menerima pendapatan  di dalam Malaysia hendaklah ditaksirkan berdasarkan Seksyen 7, Akta Cukai Pendapatan 1967. Pendapatan yang disytiharkan akan digunakan bagi mengira Cukai Pendapatan yang terbabit. 
Secara amnya, terdapat 2 jenis Borang Cukai bagi Individu iaitu : 
1.      Borang B (Borang Untuk Individu Bermastautin Yang Mempunyai Punca Pendapatan Perniagaan). Tarikh akhir bagi penghantaran Borang B ialah 30 Jun tahun berikutnya.
2.      Borang BE (Borang Untuk Individu Menerima Penggajian). Tarikh akhir bagi penghantaran Borang BE ialah 30 April tahun berikutnya.
Bagi perniagaan MLM (Multi Level Marketing) atau Jualan Langsung, pendapatan perniagaan adalah secara komisen yang mana sekiranya jualan dilakukan, maka akan ada pendapatan yang diterima oleh pihak yang terbabit dalam perniagaan ini.
Melalui maklumat yang diberikan oleh pihak Tuan, pihak Tuan tidak mempunyai sebarang entiti perniagaan yang diwujudkan. Tetapi, terdapat pendapatan yang diterima melalui urusan jual beli produk syarikat MLM dengan pelanggan yang menggunakan akaun peribadi. Oleh itu, pendapatan yang diterima perlu ditafsirkan. Setiap pendapatan yang diterima sama ada komisen / bonus perlulah diisytiharkan didalam Borang B iaitu Borang untuk Individu Bermastatutin yang mempunyai punca pendapatan perniagaan. 
Secara amnya, setiap Individu yang menerima pendapatan di dalam Malaysia hendaklah mentaksirkan pendapatan mereka melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan. Oleh itu, Individu tersebut perlulah mempunyai nombor cukai pendapatan. Pendaftaran nombor cukai boleh dibuat secara atas talian melalui laman web Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).
Dinasihatkan juga agar mendaftar perniagaan tersebut dengan pihak SSM bagi mengelakkan pemasalahan dikemudian hari.
Diharap jawapan ini dapat membantu sedikit dalam pemasalahan Tuan,
Sekian, terima kasih.