Monday, July 10, 2017

PERBICARAAN DUA KES SAMAN JENAYAH LHDNM






SHAH ALAM, 5 Julai 2017 – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada  hari ini mendakwa dua orang pengarah di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana gagal mematuhi peruntukan-peruntukan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP1967).
Nor Asyikeen Othman (37 tahun) yang juga pengarah bagi Syarikat Mayo Surgical Supply, didakwa bagi kesalahan di bawah seksyen 82(1)(a) ACP1967 iaitu telah gagal untuk menyimpan rekod-rekod yang mencukupi berkenaan pendapatan atau kerugian larasan perniagaan bagi Tahun Taksiran 2012 seperti yang dikehendaki oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Malaysia. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM300.00 dan tidak lebih daripada RM10,000.00 atau boleh dihukum penjara bagi satu tempoh tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh mengaku bersalah dan Majistret Puan Sarulatha A/P Paramavathar telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 5000.00. Jika tertuduh gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama  empat bulan.
Manakala Yong Kee Eng (40 tahun) yang juga pengarah bagi Syarikat Algood Services, telah didakwa bagi kesalahan di bawah seksyen 82(1)(a) ACP1967 iaitu telah gagal untuk menyimpan rekod-rekod yang mencukupi berkenaan pendapatan atau kerugian larasan perniagaan bagi Tahun Taksiran 2010, 2011 dan 2012  seperti  yang dikehendaki oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Malaysia. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM300.00 dan tidak lebih daripada RM10,000.00 atau boleh dihukum penjara bagi satu tempoh
tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya.


Tertuduh tidak mengaku bersalah dan Majistret Puan Sarulatha A/P Paramavathar telah menetapkan 9 Ogos 2017 adalah tarikh bagi serahan dokumen-dokumen oleh LHDNM untuk perbicaraan kes. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa LHDNM Puan Ainul Farahin binti Ramli.  


Sumber: Kenyataan Media LHDNM