Wednesday, December 3, 2014

PENUBUHAN DAN PENDAFTARAN PERNIAGAAN


From: xxx@yahoo.com

To: radziandco@yahoo.com

Sent: Thursday, November 3, 2014 2:26 PM

Subject: INGIN MENDAPATKAN NASIHAT DAN TUNJUK AJAR

Assalamualaikum. Saya En. XXX dari Sabah, Kota Kinabalu. Bisnes yang menarik minat saya ialah ingin memilik syarikat pengangkutan (Bas Ekspress).

Jika saya ingin memulakan menjalankan perniagaan seperti yang saya sebutkan di atas, apakah jenis perniagaan yang sesuai dengan bisnes yang saya ingin tubuhkan ini atau bagaimana cara mendaftarkannya nanti?

Saya ada baca tentang Syarikat Sendirian Berhad, Trading atau Enterprise. Saya kurang pasti bisnes ini kategori apa? Apa yang bersesuaian kerana di saya ingin mendapatkan nasihat daripada pihak anda, apa atau bagaimana cara untuk saya memulakan perniagaan ini dengan betul.

Terima kasih

JAWAPAN

Waalaikumsalam,

Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Berikut merupakan maklumbalas berhubung soalan yang Tuan ajukan :
A.    JENIS-JENIS PERNIAGAAN
Perniagaan boleh dilakukan dengan memilih entiti yang bersesuaian dan kehendak perniagaan itu sendiri. Antara yang digunakan adalah melalui :
 1.Milikan Tunggal (Enterprise) -Bagi entiti Milikan Tunggal (Enterprise), ianya mudah ditubuhkan dan ianya adalah milik perseorangan. Bagi yang melebihi seorang (1), 
  maka entiti Perkongsian boleh dipilih untuk ditubuhkan.  
2. Syarikat Sdn. Bhd. - Syarikat Sdn. Bhd. pula memerlukan sekurang-kurangnya 2 orang ahli Syarikat.

B.     PERBEZAAN
Perbezaan Enterprise dan Sdn. Bhd. boleh dibezakan melalui saiz, pengagihan keuntungan, percukaian, jaminan, risiko, tanggungan dan sebagainya.
 1.      Keuntungan dari segi agihan
  a.    Pemilik perniagaan Milikan Tunggal (Enterprise) berhak ke atas kesemua keuntungan perniagaan
  b.    Manakala Syarikat Sdn. Bhd., Pengarah dan Pemegang Saham adalah merupakan entiti berbeza.
  c.     Keuntungan yang diperolehi adalah milik Syarikat.
 d.  Pemegang saham hanya boleh mendapat dividen manakala para Pengarah boleh mendapat ganjaran atau gaji (Director Remuneration) sekiranya diluluskan oleh pihak Pemegang Saham.

2.      Jaminan (Security)
Enteprise
   a.       Disebabkan Enterprise dan pemiliknya adalah satu entiti, segala hutang atau masalah perniagan ditanggung oleh pemiliknya.
   b.      Apabila perniagaan dikenakan tindakan undang-undang, pihak ke-3 (penuntut) boleh menarik harta benda pemiliknya melalui arahan mahkamah.
   c.       Tiada jaminan diberikan kepada perniagaan Milikan Tunggal (Enterprise).
Sdn. Bhd.
   d.      Manakala Syarikat Sdn Bhd tiada kaitan dengan pemiliknya.
   e.       Bila Syarikat dibubarkan, para pemegang saham tidak terjejas.
  f.       Jaminan untuk Syarikat Sdn. Bhd. bergantung kepada jumlah saham yang dilaburkan dan persetujuan bersama.
   g.      Pelabur akan berasa kurang selamat jika melabur dalam entiti Milikan Tunggal dan kebiasaanya pelabur memilih entiti Syarikat Sdn. Bhd.

3.      Liabiliti (Tanggungan)
   a.       Liabiliti Syarikat Sdn. Bhd. akan terhad atau berhenti setakat Syarikat Sdn. Bhd. (jumlah saham yang dilabur)
  b.      Sedangkan Milikan Tunggal (Enterprise) akan melibatkan pemilik sepenuhnya dan boleh menyebabkan tindakan oleh mahkamah.

C.    PANDANGAN
Perniagaan Enterprise
Pihak Tuan boleh membuka perniagaan Milikan Tunggal / Enterprise. Perniagaan Enterprise ini perlulah menyediakan 1 set penuh perakaunan yang mengandungi item di bawah :
   a.       Lejar Am (General Ledger)
   b.      Jurnal Am (General Journal)
   c.       Imbangan Duga (Trial Balance)
   d.      Penyata Untung Rugi dan Kunci Kira-kira (Balance Sheet and Income Statement)
   e.       Penyata Penyesuaian Bank (Bank Reconciliation)
   f.       Jadual aset tetap beserta susut nilai
Penyata Perakaunan untuk Enterprise tidak perlu diaudit.
Akan tetapi, Penyata Perakaunan perniagaan ini perlu diisytiharkan hasil pendapatannya kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setiap tahun melalui cara :
   a.       Penyediaan pengiraan cukai perniagaan pada 31 Disember setiap tahun.
   b.      Penyediaan Borang B untuk pemilik Perniagaan setiap tahun.

Syarikat Sdn. Bhd.
Jika melibatkan modal dan usaha yang banyak dalam perniagaan, Syarikat Sdn. Bhd. bolehlah ditubuhkan. Walaupun kos agak tinggi berbanding Enterprise, namun ianya mempunyai banyak kelebihan.
Secara amnya, Syarikat Sdn. Bhd. kebanyakkan ditubuhkan bagi mereka yang agak serius dan komitmen dengan perniagaan mereka. Syarikat Sdn. Bhd. juga dilihat sebagai lebih professional dan selamat kerana ia dapat memastikan kesinambungan Syarikat itu akan berterusan.
Prosedur-prosedur Syarikat Sdn. Bhd. adalah tertakluk dibawah Akta Syarikat 1965.

D.    KESIMPULAN
Pada pandangan kami, jenis perniagaan yang boleh ditubuhkan adalah terpulang kepada individu itu sendiri dan juga sejauh mana individu itu komitmen dalam menjalankan perniagaan tersebut.
Kesimpulannya, perbezaan antara Enterprise dan Syarikat Sdn. Bhd. adalah:
   a.       Penyata perakaunan tidak perlu diaudit
  b.  Tiada Laporan Tahunan yang perlu diserah simpan kepada SSM bagi Milikan Tunggal dan    Perkongsian.
   c.     Penubuhan Milikan Tunggal dan Perkongsian lebih mudah.
  d.    Kelemahan – setiap urusan berkaitan dengan SSM tidak boleh diwakilkan oleh pihak ketiga. Tidak seperti Syarikat Sdn. Bhd. yang boleh diwakilkan oleh Setiausaha Syarikat.

Sekian. Harap penerangan di atas dapat membantu