Thursday, December 15, 2016

PERAKAUNAN ZAKAT PERNIAGAAN DI MALAYSIA


Zakat merupakan rukun Islam yang wajib ditunaikan. Kepentingan mewajibkan zakat ditegaskan oleh Rasulullah SAW ketika Baginda mengutus Muadh b. Jabal ke Yaman. Pada awal pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, penguatkuasaan zakat amat ditegaskan. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pula sanggup memerangi golongan yang enggan membayar zakat semasa pemerintahan beliau. Hal ini menunjukkan kepentingan membayar zakat yang merupakan sumber pendapatan negara.
Peraturan dan kaedah perakaunan zakat telah digubal dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan dan keperluan masyarakat. Walau bagaimanapun, kaedah penggubalan peraturan dan kaedah perakaunan zakat menjadi perbahasan yang berterusan dalam kalangan fuqaha. Hal ini malah disuarakan oleh Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Syeikh al-Azhar yang sedih melihat timbulnya jurang perbezaan antara para pemerintah dengan para fuqaha dalam hal yang berkaitan dengan kewajipan membayar zakat. Beliau menegaskan betapa perlunya kaum Muslimin didedahkan tentang kepentingan kewajipan membayar zakat yang sama dengan kewajipan menunaikan solat.
Menurut Muhammad Syukri Salleh dalam artikel penulis “Isu Perakaunan Zakat Perniagaan di Malaysia”, semasa zaman Rasulullah SAW, kekayaan dan kemiskinan yang wujud seiring pada waktu itu tidak menimbulkan apa-apa konflik. Hal ini demikian kerana orang miskin reda dengan kemiskinan yang dialami, manakala orang kaya pula gemar memberi dan membantu mereka yang memerlukan. Hal ini juga disebabkan oleh sistem percukaian dan kewangan yang diamalkan oleh Rasulullah pada ketika itu. Rasulullah SAW telah memulakan sistem percukaian dan kewangan selepas Baginda berhijrah ke Madinah dan pada ketika itu, zakat dan sedekah merupakan sumber utama pendapatan negara.
Pada ketika itu juga, Madinah mempunyai sumber pendapatan lain. Jizyah merupakan cukai yang dikenakan terhadap semua orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam; Kharaj, cukai yang dikenakan terhadap tanah pertanian milik bukan Islam; ‘Usyur, cukai perniagaan yang dijalankan di negara Islam; Ghanimah, harta yang diperoleh daripada musuh melalui peperangan; dan al-fay, harta yang diperoleh daripada musuh tanpa peperangan. Bentuk cukai yang diamalkan oleh Rasulullah ketika itu menunjukkan kecekapan Rasulullah SAW seorang yang bijak, tegas, adil, dan cekap dalam urusan kewangan serta pentadbiran negara.