SHAH ALAM, 5 Julai 2017 – Lembaga Hasil Dalam Negeri
Malaysia (LHDNM) pada hari ini mendakwa
dua orang pengarah di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana gagal mematuhi
peruntukan-peruntukan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP1967).
Nor Asyikeen Othman (37 tahun) yang juga pengarah bagi
Syarikat Mayo Surgical Supply, didakwa bagi kesalahan di bawah seksyen 82(1)(a)
ACP1967 iaitu telah gagal untuk menyimpan rekod-rekod yang mencukupi berkenaan
pendapatan atau kerugian larasan perniagaan bagi Tahun Taksiran 2012 seperti
yang dikehendaki oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Malaysia. Jika
disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang
daripada RM300.00 dan tidak lebih daripada RM10,000.00 atau boleh dihukum
penjara bagi satu tempoh tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh mengaku bersalah dan Majistret Puan Sarulatha
A/P Paramavathar telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 5000.00. Jika
tertuduh gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara
selama empat bulan.
Manakala Yong Kee Eng (40 tahun) yang juga pengarah bagi
Syarikat Algood Services, telah didakwa bagi kesalahan di bawah seksyen
82(1)(a) ACP1967 iaitu telah gagal untuk menyimpan rekod-rekod yang mencukupi
berkenaan pendapatan atau kerugian larasan perniagaan bagi Tahun Taksiran 2010,
2011 dan 2012 seperti yang dikehendaki oleh Ketua Pengarah Hasil
Dalam Negeri Malaysia. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan
hukuman denda tidak kurang daripada RM300.00 dan tidak lebih daripada
RM10,000.00 atau boleh dihukum penjara bagi satu tempoh
tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh tidak mengaku bersalah dan Majistret Puan Sarulatha A/P Paramavathar telah menetapkan 9 Ogos 2017 adalah tarikh bagi serahan dokumen-dokumen oleh LHDNM untuk perbicaraan kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa LHDNM Puan Ainul Farahin binti Ramli.
Sumber: Kenyataan Media LHDNM