Wednesday, December 7, 2016

Kepentingan akaun untuk usahawan dan pelabur



KALAU ditanya berkenaan akaun dalam kalangan orang yang menjalankan perniagaan atau pelaburan, boleh dikatakan majoriti peniaga akan mengaku mengalami masalah perakaunan. Malah ada yang beranggapan akaun bank itu adalah akaun untuk menunjukkan kedudukan kewangan syarikat.
Sangatlah salah dengan menganggap akaun bank dapat menunjukkan kedudukan kewangan yang sebenar. Ramai yang tidak menyedari keperluan mempunyai akaun yang lengkap seperti rekod yang di­nyatakan di sini.

Imbangan duga
Kita dapat mengetahui kedudukan syarikat dari mula kita menjalankan perniagaan. Di dalam imbangan duga kita juga boleh ketahui kedudukan aset, liabiliti dan ekuiti syarikat. Sangat lah penting kita mengetahui kedudukan sebenar syarikat kita sebelum membuat sesuatu keputusan seperti membeli bangunan, memberi bonus pada pekerja, membuat pelaburan dan membuat pinjaman dengan bank.

Penyata Untung Rugi
Melalui penyata untung rugi, kita dapat mengenal pasti kedudukan semasa perniagaan kita dari segi perjalanan operasi. Ini bermakna melalui penyata ini kita boleh ketahui lebih tepat mengenai operasi syarikat sama ada menghasilkan keuntungan atau kerugian.
Melalui penyata ini juga kita boleh mengetahui lebih me­ngenai jualan dan perbelanjaan kita, di mana kita boleh membuat perancangan jika wujud lebihan perbelanjaan atau kekurangan jualan.

Penyata aliran tunai
Menunjukkan kedudukan aliran tunai syarikat. Daripada penyata ini kita boleh mengenal pasti tunai perniagaan banyak ke arah operasi, pelaburan atau kewangan. Melalui penyata ini juga kita boleh mengetahui sama ada pelaburan kita telah menghasilkan aliran tunai yang positif atau sebaliknya.
Kelemahan ini sering berlaku pada peniaga dan pelabur. Di antara punca akaun tidak dapat disediakan ialah:-

Tidak mahu tanggung kos melantik akauntan atau mengupah pihak luar
Masalah ini sering berlaku dan selalunya yang baru memulakan perniagaan. Disebabkan tiada asas perakaunan yang baik, mereka memilih untuk mengemas kini secara tahunan. Risiko yang dihadapi jika mengemas kini secara tahunan ialah transaksi tidak tepat, dokumen hilang dan maklumat tidak cukup.

Tidak menyimpan rekod dan dokumen dengan betul
Masalah ini juga antara punca utama peniaga memilih untuk tidak mengemas kini perakaunan mereka. Disebabkan kelemahan dalam sistem menyimpan rekod dan dokumen, mereka lambat bertindak untuk melantik pekerja pentadbiran atau kerani akaun.

Tidak mempunyai masa yang cukup
Kebanyakan peniaga sibuk dengan aktiviti operasi perniagaan dan untuk menumpukan pada hal-hal berkaitan pentadbiran terutama berkaitan akaun adalah jarang akan dilakukan oleh mereka. Oleh itu, penulis rasa sangat bertanggungjawab untuk memastikan usahawan bertindak dengan betul. Sebaik-baiknya dari mula menjalankan perniagaan dan pelaburan, peniaga sudah mula memikirkan tentang pentadbiran dan pengurusan. Kesilapan yang sering dilakukan amat merugikan peniaga dan pelabur.
Untuk usahawan dan pelabur, dalam memastikan kita boleh berjaya dalam perniagaan dan pelaburan yang kita lakukan, amatlah digalakkan untuk memastikan penyediaan akaun yang baik dan tersusun. Kelebihan dalam menyediakan akaun antaranya ialah:-

Dapat mengenalpasti kedudukan kewangan syarikat
Sangat penting kita mengenal pasti kedudukan kewangan syarikat untuk mengelak membuat perbelanjaan yang tidak sesuai pada waktu dan mengelak daripada masalah aliran tunai.
Terlalu ramai peniaga yang mengalami masalah disekat daripada membuat transaksi di bank disebabkan masalah baki bank yang tidak cukup.

Merancang strategi pe­ngurusan risiko
Setiap keputusan yang dibuat syarikat akan membawa risiko tersendiri. Risiko syarikat perlu diuruskan dengan bijak bagi mengelakkan berlakunya risiko yang tidak mampu ditanggung.
Pemantauan akaun secara berkala perlu dilakukan. Sebagai contoh, risiko bankrap boleh diuruskan dengan mengetahui aliran transaksi duit masuk, memantau kutipan penghutang secara aktif dan memantau transaksi duit keluar atau yang dibelanjakan.

Pinjaman mudah diluluskan
Dengan menyediakan akaun secara berkala, syarikat dapat merancang corak aliran kewa­ngan syarikat bagi memastikan syarikat membuat keuntungan yang kukuh bagi tahun semasa. Ini penting bagi pihak bank untuk menilai pinjaman yang akan diluluskan.
Selain itu, pihak syarikat perlu menyediakan akaun yang terkini kepada pihak bank. Antara kriteria lain dalam memudahkan kelulusan pinjaman ialah, akaun yang tersusun dan lengkap.
Sentiasa bertindak dengan bijak setiap apa yang kita lakukan dalam perniagaan. Ja­ngan kita memandang rendah kepentingan akaun dalam perniagaan. Banyak yang dapat kita selamatkan dan merancang dengan lebih baik dalam setiap aktiviti perniagaan atau pelaburan. Semoga kita menjadi bijak mengurus dan bijak bertindak.