KUALA LUMPUR: Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup tinggi hari ini setelah muncul semula minat belian, kata seorang peniaga. Pakar produk derivatif Phillip Futures Sdn Bhd, David Ng, berkata sentimen pasaran positif berikutan anggaran eksport yang menggalakkan oleh penyelidik kargo. Menurut Intertek Testing, eksport produk minyak sawit Malaysia bagi 10 hari pertama Disember naik 1.7 peratus kepada 407,425 tan berbanding 400,614 tan pada tempoh yang sama bulan lepas. Ng berkata, data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga membantu merangsang pasaran MSM hari ini.Menurut MPOB, stok minyak sawit meningkat 5.2 peratus kepada 2.28 juta tan pada November berbanding 2.16 juta tan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. "Pengeluaran dilihat memuncak dan mula kitaran hasil yang rendah. Kami menjangka pengeluaran yang rendah pada bulan akan datang," kata Ng.
Semasa pasaran ditutup, Disember 2014 menambah RM33 kepada RM2,140 satu tan dan Januari 2015 meningkat RM38 kepada RM2,168 satu tan.Februari 2015 menokok RM45 kepada RM2,175 satu tan dan Mac 2015 menambah RM44 kepada RM2,179 satu tan.Jumlah dagangan melonjak 56,489 lot berbanding 43,120 lot semalam manakala kepentingan terbuka naik kepada 254,557 kontrak daripada 238,949 kontrak sebelumnya.Di pasaran fizikal, Selatan Disember meningkat RM20 kepada RM2,170 satu tan.
SUMBER:http://www.bharian.com.my/node/22487/RABU, 10 DISEMBER 2014 @ 8:41 PM